BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, October 27, 2009

Tutup buku isu kerajaan perpaduan



KUALA LUMPUR: Pas membuat keputusan untuk menutup pintu perbincangan dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) berhubung penubuhan kerajaan perpaduan bagi mengelak pemimpin parti itu terus bertelagah sesama sendiri.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi alasan, keputusan itu dibuat kerana faktor keadaan yang sudah berubah dan Pas belum mengetahui sikap sebenar pemimpin Umno yang baru.



"Kita sudah tutup buku. Perbincangan untuk penubuhan kerajaan perpaduan sudah tidak ada lagi. Tidak timbul lagi isu menubuhkan kerajaan perpaduan.

"Perdana Menteri zaman itu juga sudah berhenti dan sekarang Perdana Menteri baru. Konsep itu (kerajaan perpaduan) dibentang pada zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Pemimpin (Umno) yang ada kita tidak tahu lagi bagaimana sikap dan kedudukan mereka," katanya kepada media di lobi Parlimen, semalam.

Beliau berkata demikian selepas disoal sama ada isu penubuhan kerajaan perpaduan menjadi punca Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat mengeluarkan kenyataan supaya muktamar agung khas (EGM) diadakan untuk mengubah kepemimpinan parti itu.

Abdul Hadi turut menafikan parti itu mengalami krisis kepemimpinan sebaliknya hanya mengalami situasi perbezaan pendapat.

Mengulas cadangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya Nik Aziz meletak jawatan dalam parti, Abdul Hadi berkata, Dr Mahathir tidak berhak untuk berkata sedemikian.

Katanya, kedudukan pemimpin tertinggi Pas ditentukan oleh parti itu sendiri mengikut demokrasi yang diamalkan selama ini.

Malah, beliau mempertahan kedudukan Nik Aziz selaku Mursyidul Am Pas dan Pengerusi Majlis Syura Ulama Pas.

"Itu bukan hak dia (Dr Mahathir). Nik Aziz tidak perlu letak jawatan. Kita ada demokrasi dalam parti kita," katanya.

Abdul Hadi berkata, beliau turut mengalu-alukan kehadiran Nik Aziz pada mesyuarat khas Pas Pusat hari ini atas kapasitinya sebagai Mursyidul Am Pas.


Sumber daripada: Berita Harian 28 Oktober 2009

0 comments: