BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, October 25, 2009

MENGHAYATI PERPADUAN RAKYAT MALAYSIA


Salah satu masalah yang sering dihadapi negara pelbagai kaum seperti Malaysia ialah masalah perpaduan etnik, terutama perpaduan antara penduduk asal negeri ini dengan penduduk yang asalnya datang dari negeri atau negara asing atau dari luar kawasan sejarah, budaya, ekonomi, politik dan agama penduduk asal itu. Keadaan demografi kepelbagaian kaum (etnik) di Tanah Melayu atau di Malaysia hari ini adalah hasil peninggalan penjajahan British. Mungkin ini takdir Tuhan. Bagaimanapun, sesetengah ulama' berkata bahawa doa dapat menolak takdir. Jadi, kita boleh berdoa untuk mengelakkan keadaan kepelbagaian etnik ini menjadi punca masalah kepada negara kita atau menjadi punca berlakunya permusuhan atau pertelingkahan antara kaum, sebagaimana pernah berlaku pada peristiwa 13 Mei 1969.

ALLAH memberitahu manusia bahawa Dia menjadikan manusia berbangsa-bangsa supaya manusia dapat mengenali antara satu sama lain. Firman ALLAH dalam Kitab-Nya, Surah Hujurat, ayat 13 yang bermaksud: "Hai manusia,...[Kami] menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal". Jadi, dengan kehendak ALLAH, manusia yang berbeza-beza bangsa itu dijadikan demikian supaya mereka dapat, malah diperintahkan supaya berbaik-baik antara satu sama lain.

Pembaca yang budiman, kalau saya hendak menceritakan secara lanjut berkenaan isu perpaduan di Malaysia hari ini, sudah tentu akan menjadi panjang lebar. Namun, di sini saya akan mengupas serba sedikit isu yang masih 'panas' hingga hari ini. Mungkin tidak panjang, tetapi sarat dengan mesej berguna buat anda pembaca sekalian. Hari ini, masalah ekonomi orang Melayu dan jurang antara ekonomi orang Melayu dengan ekonomi kaum lain makin melebar dan sebenarnya boleh menjadi punca timbulnya perpecahan antara kaum. DEB tidak berjaya merapatkan jurang ini akibat tuduhan pihak-pihak yang membantah DEB yang mengatakan DEB merupakan dasar pro Melayu atau Bumiputera dan merupakan diskriminasi terhadap kaum bukan Melayu, dan kedua mereka berkata dasar ini bertentangan dengan hukum ekonomi pasaran atau dasar yang bertentangan dengan ekonomi kapitalisme. Oleh yang demikian, DEB boleh menyekat pertumbuhan, menyekat persaingan (competition) dan 'produktiviti' dan akhirnya ekonomi negara tidak cekap dan tidak proaktif. Itu dakwaan mereka yang menentang DEB.

Saya tidaklah bertujuan untuk berbincang lebih lanjut perihal DEB ini, cuma ingin menceritakan salah satu isu yang berkaitan dengan perpaduan yang boleh mengancam keamanan Malaysia. Lihatlah hari ini, orang bukan Melayu makin lantang membangkitkan soal "hak" dan warisan Melayu. Mereka mempersoalkan institusi Melayu, agama Islam, DEB dan lain-lain lagi. Lama-kelamaan nanti orang Melayu yang hilang kesabaran akan mengungkit hak yang telah diberikan oleh orang Melayu kepada orang bukan Melayu menjelang kemerdekaan dahulu. Akhirnya, perpaduan kaum antara orang Melayu dengan orang bukan Melayu akan terus retak dan boleh menimbulkan krisis etnik yang mungkin dahsyat.

Fikirkan sejenak. Peliharalah perpaduan demi keamanan dan kesejahteraan tanah air tercinta, Malaysia...sekian..


Nukilan: Mohammad Azri Naim bin Mohd Kamal

(rujukan daripada majalah DEWAN BUDAYA)

0 comments: